cinta
tagline filem ini sudah hampir mengisahkan segalanya; sebuah kisah tentang kasih. memandangkan filem ini adalah hasil dari malaysia, aku tak dapat menghilangkan dari kepala otakku stereotaip cerita cinta melayu yang cuba untuk romantik tapi sebenarnya meleweh-leweh, yang cuba untuk menyentuh realiti tetapi sebenarnya plastik dan yang cuba untuk menyelitkan lawak tetapi macam biawak.
tapi pada aku filem ini memang bukan tipikal filem cinta melayu. ya, sepet dan gubra juga wajar diberi penghargaan memandangkan tema besar yang diketengahkan dalam filem-filem tersebut juga cinta, tapi pada pendapat aku, sepet dan gubra cuma menjadikan tema cinta sebagai landasan untuk mengetengahkan isu-isu yang lebih besar, yang lebih berat, sedangkan filem cinta pada pandangan aku banyak menggarap isu tentang cinta, walaupun ada isu-isu lain yang cuba diketengahkan, tetapi kebanyakkannya hanyalah selingan, dan tidak signifikan seperti yang diketengahkan oleh gubra dan sepet.
5 cerita utama dalam filem ini bertemakan cinta, yang kadangkala berkait dan bertindih dalam beberapa babak yang tertentu.
seperti biasa, aku memang malas untuk menyelitkan spoiler dalam review. tapi cukup untuk aku nyatakan bahawa filem ini bukan sahaja mengetengahkan 5 kisah tersebut. malahan, terdapat juga kisah-kisah yang juga bertemakan cinta dalam 5 kisah utama. dan kisah cinta yang dipaparkan begitu menyeluruh, dari kisah cinta seorang suami kepada isteri, seorang akak kepada adik, seorang anak kepada bapanya, seorang cucu kepada atuknya dan banyak lagi. apa yang anda perlu buat hanya tonton, dan berfikir.
isu yang cuba disampaikan juga menarik. contohnya dalam 2 kisah berbeza, iaitu kisah eizlan yusuf (azlan) dan fasha sanda (azura) serta rashidi ishak (harris) dan rita rudaini (airin). kedua-duanya menyentuh isu materialism dalam perhubungan. satu kisah menceritakan bagaimana azlan berjaya menambat hati azura dengan satu makan malam yang mewah dan fancy, dan kemudiannya berjaya melamar azura dengan cincin berlian, sedangkan dalam kisah yang lain, harris ditinggalkan isterinya (airin) demi jejaka yang lain sedangkan harris juga tidak kurang dari segi kebendaan dan kasih sayang. dalam kisah harris dan azura ini juga diselitkan bagaimana seorang anak kecil yang peka kepada perasaan bapanya.
kisah pierre andre (taufiq) dan sharifah amani (aryana) pula pada aku cuba menyampaikan bahawa kadangkala cinta tak perlu dicari, cinta tak perlu dicari di akhbar mahupun myspace (myspace ni metaphor aku sendiri). kadangkala ianya di depan mata kita sendiri.
kalau aku nak sebutkan satu-satu isu yang diketengahkan rasanya tidak adil (walaupun sebenarnya aku malas) sedangkan korang sendiri boleh menganalisa isu-isu tersebut dari kaca mata korang sendiri. jadi macam aku katakan tadi, kalau berminat, tonton lah cerita ni, dan jangan lupa untuk berfikir.
rating cerita ni aku berikan 4 daripada 5 bintang.